Pemandu wanita memandu sendirian seringkali menjadi mangsa pembuli jalan raya, penjenayah dan sebagainya. Modas operasi mereka ialah dengan melanggar kereta yang dipandu wanita sendirian kemudian merompak atau menculik mereka apabila mereka keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan.

Walaupun adalah lebih baik jika berteman semasa memandu, ada kalanya wanita tidak dapat mengelak daripada memandu sendirian. Ahli perniagaan wanita contohnya, seringkali keluar memandu sendirian untuk bertemu dengan rakan kongsi atau pelanggan.

Jika anda memandu sendirian, amalkan langkah-langkah berikut untuk mengelakkan daripada terjadi perkara yang tidak diingini :

  1. Sentiasa pastikan kereta anda berada di dalam keadaan yang memuaskan untuk mengelakkan sebarang kerosakan ketika memandu.
  2. Bawalah telepon mudah alih bersama untuk meminta bantuan jika perlu.
  3. Pastikan pintu dan cermin kereta sentiasa berkunci.
  4. Jangan biarkan beg tangan atau beg kerja berselerak di dalam kereta. Letakkan di tempat yang tersorok.
  5. Jangan sekali-kali berhenti untuk bertanya alamat dari orang yang tidak dikenali. Tanyalah alamat di stesen petrol atau kaunter tol.
  6. Jika diekori, pandulah kereta anda ke balai polis yang berhampiran.
  7. Jangan tumpangkan orang yang tidak dikenali.
  8. Jangan sekali-kali keluar dari kereta jika anda dilanggar secara sengaja oleh pemandu lain.
  9. Catat nombor pendaftaran kereta tersebut, warna dan lain-lain dan gunakan telepon mudah alih untuk meminta bantuan. Anda juga boleh memandu terus ke balai polis yang berhampiran untuk mebuat laporan polis.
  10. Jika anda berada di dalam kesusahan atau orang yang mencurigakan menghampiri kereta anda, bunyikan hon kereta atau nyalakan lampu depan kereta untuk menarik perhatian orang sekeliling.
  11. Jika anda diugut oleh perompak, serahkan kunci kereta dan wang anda tanpa berlengah-lengah.
  12. Jika tayar kereta pancit di tempat yang gelap dan asing bagi anda, pandu perlahan-lahan ke stesen petrol atau tempat awam yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

Pemanduan yang berhemah dapat menjamin keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya lain agar mereka lebih selamat semasa berada di jalan raya. Berikut adalah tipn pemanduan secara berhemah :

SENTIASA
Memakai tali pinggang keledar ketika memandu dan tegaskan penggunaanya kepada penumpang lain.

JANGAN
Memandu melebihi had kelajuan. Patuhi dan sentiasa kekalkan pemanduan pada had kelajuan yang dibenarkan dalam apa jua keadaan.

SENTIASA
Kekalkan jarak selamat antara kereta dengan kenderaan di hadapan. Jika memandu ketika hujan lebat, kekalkan lebih jarak antara kereta dengan kenderaan di hadapan atau belakang.

KETIKA
Memandu, kita tidak dapat menjangkakan ada pemandu lain yang melakukan kesilapan. Jangan bergantung kepada pengguna jalan raya lain untuk memastikan keselamatan anda.

JANGAN
Pandang secara tepat lampu kereta dari arah bertentangan kerana ia menyilaukan mata. Pandu lebih ke bahagian kanan dan menjadikan garisan putih sebagai panduan sehingga kereta bertentangan berlalu.

SENTIASA
Peka dan berhati-hati jika sesebuah kereta membelok dengan tiba-tiba untuk mengelakkan lopak air atau lubang besar di jalan raya atau mengelakkan kon pembahagi jalan atau kereta rosak.

MEMANDU
Dalam keadaan cuaca buruk terutamanya hujan lebat sangat sukar. Tayar kereta mungkin hilang kuasa tarikan pada permukaan jalan basah. Pandulah kereta dengan perlahan jika jalan dipenuhi air.

KETIKA
Memandu di lebuh raya, sentiasa berjaga-jaga kerana pemandu lain mengubah lorong dengan tib-tiba untuk keluar.

JANGAN
Biarkan emosi menguasai gaya pemanduan anda kerana ia menyebabkan keburukan dari kebaikan. Awasi tahap panas baran anda ketika memandu di jalan raya.

ELAK
Memandu jika letih. Jika penat, berhenti dan keluar dari kereta seketika dan lakukan senaman ringan untuk menyegarkan badan atau berhenti untuk menikmati secawan kopi yang pastinya membuatkan diri lebih segar dan peka.

ANDA
Dinasihatkan memandu kenderaan yang diselenggara dengan baik. Periksa sistem penyejukan, sistem brek, tahap cecair brek, tali sawat, tayar, minyak enjin, lampu dan pengilap cermin sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

PERHATIKAN
Kereta di hadapan selama 15 hingga 20 saat atau lebih untuk melihat dan menyedari sesuatu situasi merbahaya atau sebarang masalah bagi mengelakkannya, supaya anda boleh menekan brek dengan pantas.

JIKA
Anda ingin mengubah lorong, sentiasa pandang ke belakang menerusi cermin supaya anda tahu jika ada kenderaan yang datang atau tidak.

PERIKSA
Keadaan tayar kereta anda. Pastikan tekanan angin mencukupi dan corak bunga tayar masih ada untuk mendapat pemanduan serta cengkaman yang baik. Ia penting untuk menjamin keselamatan anda ketika memandu di halan raya terutamanya semasa cuaca buruk.

TEMPAT
Paling selamat untuk kanak-kanak ialah di bahagian tengah tempat duduk belakang. Kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah haruslah ditempatkan dalam tempat duduk khas dan dipasangkan tali pinggang keselamatan.

Dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa Kami, Persatuan Pemilk Kenderaan Bermotor Malaysia(MOVA) telah menubuhkan Tabung Kebajikan Kemalangan Jalanraya yang bertujuan untuk membantu Keluarga yang kehilangan orang yang menjadi tunggak kepada pendapatan keluarga akibat dari kemalangan jalanraya. Kemalangan boleh berlaku bila-bila masa tanpa diduga samada ketika memandu kenderaan, menunggang motosikal ataupun melintas jalan.

Kehilangan tempat bergantung secara tiba-tiba ini akan menimbulkan masalah terutamanya kepada keluarga yang kehilangan orang yang menjadi tunggak kepada pendapatan mereka. Bayangkan jika mangsa yang mempunyai anak-anak masih kecil belaka telah mendapat kecederaan kekal atau menemui ajal, sudah pastinya anak-anak dan isteri mereka akan menanggung penderitaannya. Bagi keluarga yang berharta dan berwang tidaklah terasa sangat kesannya dari segi kewangan, tetapi bagaimana jika ianya berlaku kepada keluarga miskin, yang mana pendapatannya tak ubah "kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang" dan harapan sumber kewangan terletak sepenuhnya dibahu mangsa. Sudah pasti amat terasa keperitan hidupnya. Masyarakat harus peka terhadap bencana ini dengan memberi pertolongan dan bantuan, walau dengan cara apa sekalipun kerana ini adalah merupakan tanggungjawab kita semua.

Kami sebagai sebuah ‘NGO’ yang berkaitan amat prihatin terhadap masalah ini. Oleh yang demikian ahli-ahli kami diseluruh negara sedang giat menjalankan usaha Kempen Mengisi Tabung Keluarga Mangsa Kemalangan Jalanraya bertujuan untuk membantu setakat yang termampu dengan memberi sumbangan kewangan kepada keluarga-keluarga yang malang. Selain itu juga, akan diadakan Program Menderma Darah kepada hospital-hospital yang memerlukannya. Statistik di hospital-hospital menunjukkan kekurangan jumlah tabung darah adalah disebabkan ianya banyak digunakan untuk pesakit-pesakit yang terlibat dengan kemalangan jalanraya.

Bagi memantapkan lagi pelaksanaannya kami juga telah menubuhkan Skuad Bermotor Bantuan Bencana dan Cegah Jenayah dimana sebanyak 1000 buah motokar dan motosikal ahli-ahli kami akan bergerak dari semasa kesemasa memberi bantuan kepada yang memerlukannya. Selain itu Skuad ini juga akan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam pencegahan jenayah serta memberi pertolongan cemas sekiranya berlaku bencana alam di negara ini.

Selain itu juga, kami telah mengadakan program-program amal setiap tahun di hospital-hospital seluruh negara dengan memberi bantuan kewangan secara langsung kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan pada Perayaan Tahun Baru Cina.?

Untuk makluman, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan MOVA yang telah dilaksanakan di dalam dan luar nagara antaranya adalah seperti berikut :

  1. Disember 2001-Bantuan perubatan mangsa banjir di Negeri Pahang. Penghantaran doktor dan jururawat di bawah MOVA Medical Squad membuat pemeriksaan kesihatan dan pertolongan cemas di kawasan terbabit.
  2. Januari 2002-Bantuan kemanusiaan MOVA Medical Squad dengan kerjasama Wisma Putra. Penghantaran sukarelawan perubatan seperti doktor dan paramedik ke kem Kelli Faizo, Chaman di sempadan Afghanistan & Pakistan.
  3. Oktober 2006-Forum Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Sabah dengan kerjasama PDRM, Majlis Keselamatan Jalan Raya Sabah, JPJ, Jabatan Bomba, JPN Sabah & Hospital Queen Elizabeth
  4. Program Selamat Pulang Ke Kampung 2006/2007 sempena sambutan Hari Raya Puasa di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.
  5. Pada 21 september 2008 bertempat di Hospital Kuala Lumpur-Pengagihan Bantuan Kewangan kepada keluarga mangsa kemalangan Jalan Raya
  6. Kempen menderma darah dan sumbangan wang kepada pesakit-pesakit yang terlibat dengan kemalangan jalanraya di Hospital Selayang pada 3.10.09

Justeru itu, MOVA ingin memohon bantuan dari mana-mana pihak yang sudi menyumbang bagi membantu mereka yang memerlukan.

Setiap sumbangan bolehlah dibuat di atas nama :

TABUNG KEBAJIKAN KEMALANGAN JALANRAYA MOVA .
Cek-cek tersebut boleh dihantar terus ke alamat berikut :

PERSATUAN PEMILIK KENDERAAN BERMOTOR MALAYSIA (MOVA)
No.5-1, Dataran Dwitasik, Jalan Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri,
56000 Cheras, Kuala Lumpur

Salam hormat.

PERSATUAN PEMILIK KENDERAAN BERMOTOR MALAYSIA (MOVA)
AHMAD ZAKI BIN ARIFFIN
(Presiden MOVA) 

 

Berikan pemandu pendidikan moral

MUNGKIN agak emosional kalau dicadangkan agar sambutan perayaan seperti Aidilfitri atau lain-lain perayaan tidak perlu diadakan bagi mengelakkan berlakunya kehilangan nyawa di jalan raya? Cadangan itu seperti lahir dari nada orang kecewa sahaja.

Tetapi mungkin cadangan itu praktikal kalau kita sudah dapat merasakan banyak nyawa akan hilang apabila setiap kali tiba perayaan! Apa salahnya kalau kita bertindak awal demi kebaikan bersama?

Seperti sudah menjadi satu trauma, bila setiap tiba perayaan, perasaan kita akan dihantui dengan kengerian kemalangan jalan raya. Walaupun hari mulia itu tidak seharusnya disambut dengan tangisan, tetapi itulah hakikat yang berlaku pada setiap tahun. Banyak nyawa yang terkorban dan ia seolah-olah tidak dapat dielakkan daripada berlaku.

Pada setiap tahun angka kematian akibat kemalangan jalan raya di musim perayaan meningkat. Walaupun pelbagai usaha dilakukan tetapi ia tidak menunjukkan angka kematian akan berkurangan. Mengenangkan itulah kita semua seperti `hilang akal’ memikirkan bagaimanakah untuk mengatasinya.

Pelbagai usaha dan tindakan dilakukan untuk mengatasi masalah itu. Operasi Statik diwujudkan khusus untuk mencegah berlakunya kemalangan jalan raya pada musim perayaan. Operasi itu kini sudah masuk tahun kelima.

Tidak cukup dengan operasi itu pelbagai langkah dan tindakan susulan lain dibuat. Kempen keselamatan jalan raya menjelang perayaan juga merupakan perkara yang tidak ditinggalkan pada setiap tahun. Para pemimpin juga turut sama memberi peringatan. Sudah berbuih mulut pemimpin memberi peringatan agar berhati-hati di jalan raya namun kesannya tidak seberapa.

Masalah kemalangan dan kehilangan nyawa di musim perayaan perkara serius, dan tidak salah kalau dikatakan musibah ini menjadi satu ancaman kepada rakyat negara ini. Kenapa tidak kalau purata 150 orang mati setahun pada musim perayaan. Cuba bayangkan jumlahnya dalam tempoh lima tahun iaitu berjumlah 750 jiwa.

Jumlah itu bukan sesuatu yang kecil. Dan cuba darab pula dengan 10 tahun ia mencecah ke angka 1,500 jiwa. Jumlah itu tidak termasuk yang cacat dan kerugian harta benda lain. Jumlah itu sesuatu kerugian besar kepada negara. Perlu diingat nyawa adalah aset utama bagi sesebuah negara.

Lantaran itu ia perlu ditangani dan jalan mengatasinya secara tuntas hendaklah dikaji secara bersungguh-sungguh. Tahun ini sahaja dalam tempoh sembilan hari sudah 163 orang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara.

Kerajaan nampaknya sangat prihatin dalam soal ini. Beberapa cadangan yang dikemukakan bukan sahaja diambil perhatian tetapi perlu tindakan segera. Antara langkah itu ialah menggantung lesen selama lima bulan dan lima tahun bagi mereka yang terlibat dalam kemalangan maut.

Cadangan Perdana Menteri untuk mengadakan sesi perbincangan umum bagi mencari sebab-sebab berlaku kemalangan juga dialu-alukan. Perbincangan itu nanti diharap akan dihadiri oleh semua pihak dan memberi input yang baik.

Ada beberapa sebab yang sudah dikenal pasti kenapa masalah itu berlaku. Di antaranya ialah mengenai jalan raya, bertambahnya kenderaan dari setahun ke setahun serta sikap para pemandu sendiri. Selain itu kerana pemandu yang baru memperoleh lesen memandu. Menurut perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 50,000 dalam setahun lesen baru dikeluarkan.

Di sini saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai punca berlakunya kemalangan jalan raya. Pandangan ini berpandukan kepada pengalaman semasa pulang beraya di kampung dan memerhati mengenai gelagat dan senario di atas jalan raya.

Seperti diketahui umum di antara punca utama yang menyumbangkan kepada kemalangan jalan raya ialah kerana sikap para pemandu itu sendiri. Di antara sikap atau fiil yang mudah dilihat ialah seperti gelojoh, tidak mengikut peraturan, tidak bertimbang rasa, ego dan ingin menunjuk lagak.

Itulah di antara sikap yang sering dilihat di sepanjang perjalanan. Sikap beginilah yang telah menyebabkan kemalangan mudah berlaku.

Justeru usaha bagi mengatasi kemalangan jalan raya perlu ditekankan kepada sikap pemandu itu sendiri. Dalam hal ini mungkin pendidikan psikologi dan moral perlu ditekan kepada bakal-bakal pemilik lesen baru. Perkara ini boleh diterapkan semasa calon-calon menduduki kursus intensif untuk menjalani ujian memandu.

Kursus-kursus pendidikan psikologi dan moral ini juga boleh diberikan kepada golongan pemandu yang dikenal pasti kerap melakukan kesalahan jalan raya. Mereka boleh dijemput secara wajib untuk menghadirinya.

Apabila mereka dilengkapkan dengan pendidikan ini, sedikit sebanyak mereka akan jadi bertimbang rasa dan tahu menghormati pengguna lain serta tahu menggunakan jalan raya dengan betul apabila mereka mendapat lesen kelak.

Pada saya selagi sikap pemandu tidak berubah, buatlah berapa banyak peraturan termasuk mengenakan denda yang tinggi atau hatta memenjarakan `penjenayah’ jalan raya, masalah di jalan raya tidak akan dapat diatasi. – MOHD. SAYUTI OMAR, Kuala Lumpur. 

 

Masalah

 Thana Chew Ne Meng (Mewakili Semua Wakil Insuran) Lot 157, Tingkat Bawah, Kompleks Alor Star, 05100,AlorStar, Kedah

YB Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
Menteri Kewangan II,
Aras 11, Blok Tengah,
Kompleks Kementerian Kewangan,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
No. 5, Persiaran Perdana, Presint 2,
62592. Putraiava.                                                                                                                    03 MAC 2010
YB Dato’,
PER : MASALAH YANG DI HADAPI WAKIL INSURANS
Merujuk perkara diatas saya Thana Chew Ne Meng mewakili semua wakil insuran ingin meminta bantuan daripada pihak dato’ untuk menyelesaikan masalah kami.
Wakil insuran am yang sah perniagaan mereka telah dirampas sekian lama oleh Kaunter Syarikat Insuran, Bank, Pejabat Pos, dan akhirnya MYEG.
Sudah lama wakil insuran bersabar kerana periuk nasi, kos sara diri, keluarga serta kakitangan mereka terancam.Mereka juga perlu diperlihara dengan baik.Kos pejabat juga amat tinggi. Saya berharap YB Dato’ pertimbangkan akan kesudahannya. Apabila putaran wang tiada, ekonomi akan musnah sama sekali, tidak sama seperti dahulu ekonomi maju berkembang pesat.
Dahulu, bank sudah mengambil alih perniagaan insuran kebakaran milik wakil insuran, sekarang agak melampau. Kata pepatah " Bagi betis mahu paha pula " Sebelum perniagaan bank mula berminat kepada insuran kereta berkomprensif agak baik tetapi kebelakangan ini semua kereta berkomprensif ada pada bank. Jadi wakil insuran yang sah tidak dapat bersaing dengan bank. Apa pula yang akan berlaku kepada syarikat insuran yang tidak mempunyai bank, selalu menelan kerugian berjuta-juta ringgit melalui insuran third party, bukan semua syarikat insuran mahu memberi perkhidmatan third party motor, kereta, dan kenderaan barangan kepada pengguna. Kenapa PIAM dan BNM tidak mengambil tindakan? tetapi hanya mahu salahkan ejen dan wakil insuran.
PIAM dan BNM perlu menaikan imej wakil insuran yang sah bukan untuk memusnahkan kerjaya mereka malah membantu mereka ketangga kejayaan bagi memulihkan ekonomi negara. Syarikat Insuran, PIAM dan BNM sudah membuat kesilapan lagi, insuran third party ada diwartakan wajib mengikut Akta Jabatan Pengangkutan Jalan 1987 perenggan 4. MMIP sendiri serah perniagaan Insuran Third Party kepada Pejabat Pos adalah bercanggah kerana Pos Malaysia bukanlah Syarikat Insuran , kenapa begitu? Sehingga sekarang permohonan yang dibuat untuk menjadi wakil Malaysian Motor Insurance Pool ( MMIP) langsung tidak ada maklum balas dan khabar berita. Disini saya lampirkan satu salinan fotostat surat permohonan untuk menjadi wakil MMIP yang telah dihantar sebelum ini.
Berkenaan tentang rebet insuran kenderaan 5% tahun pertama,10% pada tahun kedua adalah salah dan tidak beretika. Peringatan tentang perjanjian antara syarikat mengenai tarif motor yang ditandatangani pada 18 Mac 1986, berkuatkuasa pada 1 Jul 1986. Apa yang diamalkan selama ini adalah benar, apa sudah berlaku pada PIAM, Mil dan BNM. Agaknya gaji mereka patut dipotong
disebabkan tiada kerja.Yang sepatutnya haruslah fikir bagaimana cara mahu membantu golongan agen yang hanya layak mendapat 10% komisen saja, bukan merampas hak mereka. Harga barang sudah naik, sudah berpuluh puluh tahun tarif insuran tak naik bagaimana syarikat insuran dan wakil insuran nak hidup setanding dengan bidang lain. Kos harian makin bertambah. Tambang bas akan naik, kononnya ingin bagi perkhidmatan yang baik.
Kami wakil insuran bukan tidak memberi perkhidmatan yang baik, kenapa kami tidak diberi keistimewaan yang sama seperti mereka. Pelanggan sudah mendapat potongan 25% hingga 55% diskaun tiada tuntutan bagi kereta mereka. Kenapa mahu beri rebet lagi pada pelanggan yang berurusan dengan kaunter Syarikat Insuran, Pejabat Pos, Bank, dan MYEG, adakah wakil insuran tidak memberi perkhidmatan yang baik atau ada udang disebalik batu.
Kami wakil insuran tidak berpuas hati dengan tindakan yang dibuat kerana kami telah pun kehilangan pelanggan serta menelan kerugian yang besar. Tindakan yang dibuat adalah tidak wajar. Kenapa Pejabat Pos yang bukan syarikat insuran boleh beroperasi dengan insuran third party sedangkan kami wakil insuran yang sah diberi pelbagai syarat untuk kami meneruskan insuran third party.
Kini wakil insuran telah menerima pelbagai masalah untuk meneruskan perniagaan. Kami wakil syarikat insuran berharap agar pihak kerajaan berlaku adil dan janganlah memihak kepada sebelah pihak sahaja. Kami juga ingin mencari rezeki untuk menampung pelbagai perbelanjaan.
Kami ingin memohon maaf kepada pengguna rakyat malaysia tentang bantahan potongan rebet. Cara BNM dan PIAM memberi rebet melalui syarikat insuran tidak betul. Mereka telah merampas perniagaan wakil insuran yang sah dan halal yang sekian lama beroperasi.
Justeru itu, masalah ekonomi menyebabkan segelintir pekerja kilang diberhentikan serta hilang punca pendapatan. Malah setengah daripada mereka telah menceburi bidang insuran dengan baik tetapi setelah sekian lama menceburi bidang insuran kini tidak lagi dapat menampung pandapatan dengan sebaiknya.
Wang yang mereka rampas adakah wang halal atau haram? Sepatutnya mereka harus meringankan beban rakyat dengan menurunkan harga minyak dan tol kerana ini adalah kegunaan harian tetapi mereka menggunakan cara dengan membuat potongan insuran yang hanya setahun sekali untuk mengelak daripada rebet petrol dan penurunan harga tol. Hal ini melibatkan wakil insuran kehilangan pendapatan yang sah.
Bagaimana wakil insuran ingin beroperasi dengan baik jika mereka menggunakan cara yang tidak betul serta membebankan wakil insuran.Kami wakil insuran bukan ingin bebankan rakyat dengan membuat bantahan tetapi mahu pihak kerajaan berlaku adil.Disini kami wakil insuran 100% bergantung kepada pendapatan ini sahaja.
Kata Perdana Menteri lagi, rakyat perlu didahulu dan diutamakan tetapi bagaimana dengan kami berbanding dengan pemegang AP yang diberi keistimewaan. Pada mulanya akan tamat 31 Disember 2010, malah sekarang dilanjutkan pula. Dengan tambahan RM10,000 ia membebankan rakyat. Kini masalah timbul akibat keengganan syarikat insuran memberi jualan insuran third party kepada pelanggan. Beri laluan kepada kami menjadi wakil insuran MMIP (kelompok) supaya kami dapat memberi perkhidmatan yang baik kepada pelanggan kami.
 

Mengenai pemberian AP lagi, kenapa kerajaan tidak memberi rakyat membeli kenderaan dengan harga yang rendah malah mesti melalui orang tengah yang mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit. Ini juga telah menimbulkan masalah dan memberi beban kepada rakyat. Selepas pemasangan tali pinggang keledar belakang oleh syarikat kenderaan tempatan secara percuma buatan mereka mengikut piawaian kenderaan. Rakyat hidup selesa dan tidak merasa beban.ini adalah satu contoh yang patut diikuti. Dengan ini saya lampirkan satu salinan surat pemasangan tali pinggang keledar secara percuma.

                 Berhubung dengan perkara diatas, kami mewakili semua Agen Insuran Am               sebelum ini tidak menghadapi sebarang masalah dalam mengendalikan                          perniagaan ini, sehiggalah timbul beberapa isu seperti berikut :-

  1)            Kami berharap pihak YB Dato’ menghadkan urusan syarikat insuran untuk                        memperbaharui insuran kepada agen sahaja dan tidak diKaunter Pejabat Insuran,          Pejabat Pos, Bank, Koperasi dan MYEG. Syarikat insuran dikehendaki memberi               perkhidmatan seperti tukar milik, extension( sambungan insuran) retention dan                tuntutan sahaja.

  2)      Perlantikan Pejabat Pos, Bank, Koperasi dan MYEG sebagai agen insuran telah               mengambil alih separuh daripada perniagaan agen yang hanya bergantung hidup           pada perniagaan ini sahaja. Pendapatan atau komisen yang rendah tidak dapat               menampung kos operasi syarikat. Jadi kami berharap pihak YB Dato’ dapat                       menimbangkan kenaikan komisen.

  3)       Bank memaksa pemilik kenderaan membeli insuran mereka, sepatutnya pemilik           kenderaan menentukan sendiri urusan insuran yang mereka suka. Kedai-kedai               yang menjual kenderaan baru dan terpakai, insuran kenderaan mereka juga                    dipaksa atau diserahkan kepada bank untuk menguruskannya bagi membolehkan           bank meluluskan pinjaman pembeli kenderaan mereka.

   4)     Kursus yang diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia kepada semua agen selama           20 jam, tetapi tidak kepada Pejabat Pos, Bank, Koperasi dan MYEG. Begitu juga              C.B.C  ( Cash Before Cover ) dikenakan kepada setiap agen.

     Kami berharap pihak YB Dato’ mengarahkan Bank Negara Malaysia supaya segera menarik balik perlantikan Pejabat Pos, Bank, Koperasi dan MYEG sebagai agen kerana mereka tidak mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. la juga akan menjejaskan pendapatan agen yang sah. Sepatutnya MYEG dan Pejabat Pos cuma boleh memperbaharui cukai jalan, lesen dan sebagainya.

      Oleh itu, kami amat berharap pihak YB Dato’ dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani masalah ini. Diatas keperihatinan pihak YB Dato’, kami dahului dengan ucapan terima kasih.

  Sekian.

                   CC : LIZA LAU YOKE PING
PRESIDENT OF PERWAKIM C/0 SELANGOR & FT MOTORCYCLE & SCOOTER DEALER ASSOCIATON
CC : DATUK MARIMUTHU NADASON
GABUNGAN PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA
CC : DATO TNEK KOK CHENG
PERSATUAN PENIAGA MOTOSIKAL NEGERI KEDAH
CC : DATO’ HAJIYUSOFF BIN HAJI ISMAIL DSDK,AMK,JP PRESIDENT PERSATUAN PENGGUNA KEDAH
CC : AHMAD ZAKI BIN ARIFFIN
PERSATUAN PEMILIK KENDERAAN BERMOTOR MALAYSIA ( MOVA)
 
 
Kemalangan Jalan Raya
A.OBJEKTIF
Objektif risalah ini ialah memberi panduan kepada anda mengenai langkah-langkah yang perlu diambil jika anda terlibat di dalam sesuatu kemalangan jalan raya. Anda mungkin cedera atau mencederakan seseorang atau anda mungkin telah merosakkan kenderaan anda atau kenderaan orang lain.
 
 
B. APA YANG PERLU DILAKUKAN DI TEMPAT KEMALANGAN?
 
Bertenang dan jangan cemas. Anda juga tidak boleh bertindak membelakangkan undang-undang
Ambil butir-butir maklumat kenderaan yang terlibat:
Nombor-nombor pendaftaran
Jenis kenderaan (tahun & model)
warna
Kemudian, ambil butir-butir maklumat mengenai pemandu/penumpang/saksi:
Nama
Alamat
Nombor Kad Pengenalan
Nombor lesen memandu
Nombor telefon (kerja dan rumah)
 
Jika anda membawa kamera, ambil gambar-gambar tempat kemalangan dan juga kenderaan-kenderaan yang terlibat. Jangan lupa menyimpan negatif gambar-gambar di dalam tempat yang selamat kerana gambar-gambar tanpa negatif mungkin tidak boleh diterima sebagai bukti di Mahkamah.
 
C. DI BALAI POLIS
 
Anda perlu membuat laporan polis dalam masa 24 jam berlakunya kemalangan dibalai polis terdekat.
 
Jika anda cedera, dapatkan rawatan perubatan dahulu dan kemudian barulah membuat laporan polis di pondok polis di hospital. Terangkan di dalam laporan anda bagaimana kemalangan itu berlaku.
 
Anda boleh menulis laporan di dalam Bahasa Malaysia dan kemudian turunkan tanda tangan di bahagian bawah laporan tersebut. Jika anda tidak boleh menulis di dalam Bahasa Malaysia, anda boleh jelaskan kepada Pegawai Polis yang bertugas untuk menuliskannya. Sentiasa minta salinan sah laporan tersebut.
 
 
 D. CARA MENGHADAPI KEROSAKAN KENDERAAN
 
Baca polisi insuran anda dengan teliti. Anda mesti melaporkan kemalangan tersebut kepada syarikat insuran dalam masa yang ditetapkan di dalam polisi, jika tidak, syarikat insuran tidak akan mengendahkan tuntutan anda.
 
Pastikan Kenderaan anda ditunda ke bengkel yang diiktiraf. Di sana, kerosakan kenderaan anda akan ditaksirkan oleh penaksir syarikat insuran.
 
Jika anda cedera, dapatkan rawatan dengan segera. Dapatkan laporan rawatan dan jika boleh salinan laporan rawatan.
 
E. MENYIMPAN REKOD
 
Anda perlu menyimpan rekod yang betul mengenai:
Butir-butir di perenggan B di atas
Salinan-salinan sah laporan Polis
Resit perbelanjaan berkenaan seperti bayaran rawatan perubatan, perbelanjaan kenderaan, sewa kenderaan dll
Dokumen-dokumen yang menyokong tuntutan:-
Gambar-gambar dan negatif, bil membaiki kenderaan, resit, laporan perubatan
 
F. TUNTUTAN KEROSAKAN KENDERAAN
 
Terdapat dua cara untuk menuntut kerosakan kenderaan.
 
Tuntutan dari syarikat insuran anda:
Teliti polisi insuran anda dan catat perenggan tuntutan lebihan di dalam polisi. Jika mahu menuntut daripada syarikat insuran anda, tuntutan mesti melebihi peruntukan perenggan tuntutan lebihan tersebut. Kemudian, syarikat insuran akan membayar perbezaan di antara tuntutan anda dan jumlah lebihan. Sebagai contoh, jika perenggan tuntutan lebihan ialah RM 1000.00 dan tuntutan anda ialah RM 800.00 anda tidak boleh menuntut daripada syarikat insuran anda. Tetapi jika tuntutan anda berjumlah RM 1800.00, anda akan dibayar RM 800.00. Anda perlu ingat bahawa tuntutan dari syarikat insuran anda boleh menyebabkan anda hilang ‘bonus tiada tuntutan’.
 
Tuntutan dari syarikat insuran pihak yang lain:
Anda juga boleh membuat tuntutan dari syarikat insuran pihak yang lain. Jika anda pilih sedemikian anda dinasihatkan untuk mengambil perkhidmatan seorang peguam.
 
G. MENGAMBIL PERKHIDMATAN PEGUAM
 
Jika anda mahu membuat tuntutan, anda perlu mengambil perkhidmatan seorang peguam. Ingat, anda mempunyai hak untuk memilih peguam anda. Jadi, jangan terpengaruh oleh orang lain yang mahukan anda menerima perkhidmatan peguam mereka. Anda akan disuruh oleh peguam anda untuk menandatangani waran untuk bertindak. Ini merupakan sebuah dokumen yang melantiknya sebagai peguam anda dan memberi kuasa kepada peguam tersebut untuk bertindak bagi pihak anda.
 
 
H. APA YANG AKAN DILAKUKAN OLEH PEGUAM?
 
Peguam anda akan:
Ambil kenyataan penuh anda dan memeriksa segala dokumen yang anda ada, pertimbangkan bukti-bukti yang ada dan menerangkan kepada anda jenis dan jumlah tuntutan yang boleh anda terima.
Tulis surat kepada balai polis untuk mendapatkan salinan laporan polis dan juga peta lakaran tempat kejadian.
Jika anda tidak mendapat laporan rawatan, peguam akan menulis kepada pihak hospital untuk mendapatkannya
Tulis kepada syarikat insuran yang berkenaan untuk mendapatkan ganti rugi.
Jika ganti rugi yang sepatutnya tidak boleh diperolehi, dia akan memfailkan dakwaan sivil, menyediakan dokumen-dokumen dan bersiap sedia untuk perbicaraan. Walaupun di peringkat ini, pihak-pihak yang terlibat masih boleh membuat penyelesaian sendiri.
 
I APA YANG BOLEH DITUNTUT?
 
Orang yang cedera boleh menuntut:
Ganti rugi khas
Ganti rugi biasa/am
 
Ganti rugi khas – ia merupakan tuntutan untuk perbelanjaan khas seperti pengangkutan, kos memperbaiki kenderaan, menyewa kenderaan lain, perbelanjaan perubatan. Biasanya, ganti rugi khas hanya melibatkan perbelanjaan kewangan khas, yang telah dibelanjakan si penuntut oleh sebab kemalangan tersebut
 
Ganti rugi biasa/am – ia merupakan ganti rugi bagi kesakitan dan penderitaan berikutan kecederaan
 
J. PERBICARAAN
 
Jika hal ini perlu dibicarakan, mahkamah akan memutuskan mengenai:
Liabiliti – siapa yang bertanggungjawab menyebabkan kemalangan?
Kuantum – berapa banyak yang perlu diberi oleh pihak yang cedera?
 
Jika defenden bertanggungjawab sepenuhnya atas kemalangan tersebut, dia akan bertanggungjawab 100%.
 
 
 
Terdapat juga keadaan di mana orang yang membuat tuntutan juga bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut. Jika sedemikian, plaintif akan dikatakan turut cuai. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah akan menaksir tahap tanggungjawab si penuntut peratusan dalam menyebabkan kemalangan dan mengurangkan jumlah sepatutnya. Jadi jika Mahkamah mendapati yang si penuntut bertanggungjawab 50%, Mahkamah akan mengurangkan jumlah kuantum sebanyak 50%.
 
K. MENDAPATKAN WANG
 
Cek akan dikeluarkan oleh syarikat insuran di atas nama anda dan akan dihantar kepada peguam anda. Peguam anda pula akan memberitahu anda supaya hadir di pejabtnya untuk mengambil cek tersebut.
 
L. PERINGATAN TERAKHIR!
 
Ingat bahawa anda mempunyai hak untuk memilih peguam anda. Jangan terpengaruh untuk memilih peguam orang lain.